MARIYA dan Umar ketika memperkenalkan produk Momohime di Indonesia.
MARIYA dan Umar ketika pelancaran Momohime di Kuala Lumpur.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Tutur katanya begitu lembut dan sopan, gayanya nampak pemalu dan sesekali seakan-akan tidak kedengaran butir bicaranya.

Bagaimanapun, wanita kelahiran Tokyo, Jepun yang fasih berbahasa Inggeris ini tidak lokek malah begitu bersemangat berkongsi kisah pengislamannya pada Januari tahun lalu.

Berkesempatan menemui saudara baru dari negara matahari terbit itu begitu mengujakan, seolah-olah semangat yang mengalir dalam dirinya meresap ke dalam jiwa penulis.

Mana tidaknya, pemilik nama Mariya Mieko Kobayashi ini wanita berpengaruh dalam bidang perakaunan di negaranya dengan menerajui firma perakaunannya sendiri, Genesis Accounting Inc dan akhirnya memilih Islam sebagai cara hidup.

Berpengalaman merantau jauh di negara orang untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di School of Business, City University of New York, Amerika Syarikat (AS) pada 2002 sebelum bertugas sebagai juruaudit di sebuah syarikat di bandar raya itu, banyak mengajar Mariya erti berdikari dan bercita-cita tinggi.

Detik pengislamannya juga menjadi kenangan terindah bukan saja untuk dirinya malah dikongsi bersama suami tercinta, Umar Kobayashi yang turut mengucap kalimah syahadah tahun lalu.

Berkongsi kisah pengislamannya, Mariya berkata, dia dan Umar kerap ke luar negara atas urusan perniagaan yang biasanya bertumpu di Singapura, Indonesia dan AS.

Dari situ mereka bersahabat dengan ramai rakan beragama Islam sehinggalah Umar yang ketika itu berada di Jakarta, Indonesia kerana urusan perniagaan dimasukkan ke hospital di bandar raya itu berikutan masalah buah pinggang serius.

Wanita berusia 48 tahun yang berada di Jepun ketika itu bergegas ke Jakarta untuk menjaga suami dan hospital itu menjadi saksi bagaimana mereka mula berminat untuk mempelajari agama ini.

“Di hospital, jururawat dan doktor yang merawat suami saya ketika itu menunjukkan sikap yang amat baik sebagai Muslim. Saya melihat cara kehidupan mereka dan perasaan tenang hadir dalam diri setiap kali bertemu mereka.

“Suatu hari, ketika saya berdoa agar tuhan selamatkan nyawa suami, sayup-sayup kedengaran alunan azan dari masjid berdekatan yang begitu menenangkan dan hati saya berasa sangat sayu ketika itu.

“Selepas suami sembuh, kami kembali ke Tokyo dan mahu mendalami agama Islam lantas berkunjung ke sebuah masjid di sana dan diterima baik. Selama tiga tahun masa diambil untuk benar-benar memahami Islam dan akhirnya dengan hidayah Allah, kami melafaz dua kalimah syahadah buat pertama kali,” katanya ketika ditemui pada pelancaran produk Momohime di Kuala Lumpur.

Mariya berkata, dia cukup bertuah kerana penerimaan daripada keluarga dan rakannya di negara itu amat baik malah tiada halangan untuk dia dan suami mengamalkan ajaran Islam.

“Selepas mengambil keputusan memeluk Islam, ibu saya menerimanya dengan hati terbuka dan tidak menghalang niat kami. Begitu juga ahli keluarga dan rakan rapat semuanya menerima penghijrahan kami kerana personaliti kami tidak berubah walaupun berlainan agama dengan mereka.

“Lagipun, di Jepun separuh rakyatnya tiada agama manakala sebahagian lagi rata-rata beragama Buddha, Taoism dan Kristian. Kebanyakannya memang boleh menerima agama lain apatah lagi semakin ramai pelancong Islam yang mengunjungi negara kami,” katanya.

Pengenalan dengan Islam katanya, membuatkan mereka dikelilingi ramai rakan beragama Islam yang datang dari pelbagai negara seperti Malaysia dan Indonesia yang bekerja atau melanjutkan pelajaran di bandar itu.

IDEA BERNIAGA

Mariya sering ditanya mengenai kandungan produk kosmetik keluaran negara itu dan rata-ratanya ragu-ragu dengan status bahan, sama ada mengandungi alkohol atau berasaskan haiwan.

Dari situ katanya, tercetus idea menghasilkan sendiri produk kosmetik halal dan dapat digunakan tanpa keraguan apatah lagi kosmetik dari Jepun sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada wanita Islam.

Melalui syarikat mereka, PBJ Inc yang memiliki rangkaian kedai membekal sayur-sayuran dan buah-buahan, Mariya bersama Umar mengeluarkan produk penjagaan wajah, Momohime berasaskan buah pic.

“Sebelum ini, PBJ ialah syarikat yang menjalankan perniagaan buah-buahan dan sayuran. Selama bertahun-tahun juga kami meneliti kesan pic untuk kesihatan dan kecantikan. Momo Hime yang bermaksud puteri pic ialah satu-satunya produk kosmetik yang mendapat sijil halal daripada Japan Islamic Trust.

“Dilahirkan dalam generasi ketiga perniagaan keluarga yang dimulakan lebih 80 tahun lalu di Tokyo, bukan lagi rahsia buah pic Jepun memiliki banyak manfaat kecantikan dan mempunyai kesan pelembap semula jadi sejak zaman kuno di Jepun.

“Ketika merancang membangunkan produk penjagaan kulit halal, kami membuat keputusan menggunakan ekstrak pic termasuk daun, buah dan bijinya. Semua produk ini daripada bahan kandungannya hingga pembungkusan 100 peratus dibuat di Jepun untuk pengawasan maksimum,” katanya.

Menurut Mariya, Momohime menerima penghargaan produk terbaik di Ekspo Halal Moscow di Russia Jun tahun lalu. Ia satu penghargaan buat mereka kerana jenama itu perusahaan Jepun pertama yang menerima pengiktirafan dalam ekspo halal sedemikian.

Bertitik tolak dari itu, produk terbabit mula dipasarkan di Russia dan Kyrgyzstan sebelum berkembang di Indonesia dan Malaysia.

Katanya, mereka juga dalam perancangan untuk memasarkan produk itu ke Singapura, Thailand dan Timur Tengah berikutan mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan di negara terbabit.

Momohime setakat ini didatangkan dengan tiga produk kecantikan iaitu buih pencuci muka, losen pelembap dan krim gel pelembap dalam masa terdekat lebih banyak produk akan diperkenalkan syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:48 AM