MOHD Nizar (dua dari kanan) bersama piala pusingan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Pekan merebut Piala Legasi Tun Abd Razak.
Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my


Pekan: Sebanyak 48 pasukan tempatan dijangka tampil menyertai Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Pekan merebut Piala Legasi Tun Abd Razak yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM2,500 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang, esok.

Kejohanan kali pertama itu dianjurkan Kelab Program Mesra Dakwah (PERAMAH) Parlimen Pekan yang antara lain bertujuan mencungkil bakat baru selain mengeratkan lagi hubungan di kalangan belia.

Penasihat PERAMAH Datuk Mohd Nizar Najib berkata, juara akan menerima wang tunai RM1,500, piala pusingan dan medal, naib juara (RM700 dan medal) serta tempat ketiga (RM400 dan medal).

Katanya, bagi memeriahkan lagi kejohanan, penganjur turut mengadakan tiga cabutan bertuah iaitu telefon bimbit dan hamper.

Nizar berkata, setakat ini, penganjur menerima lebih 30 penyertaan terdiri daripada golongan belia di daerah ini dan pendaftaran hanya akan ditutup beberapa jam sebelum pertandingan.

“Kejohanan ini adalah sebagai sokongan kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan diharap menjadi gelanggang menguji kebolehan belia seterusnya membuka laluan melangkah lebih jauh dalam sukan ini.

“Selepas kejohanan sepak takraw, kita merancang menganjurkan beberapa pertandingan lain seperti bola sepak, futsal, bola jaring dan badminton tertutup untuk daerah ini,” katanya.

Nizar berkata, sokongan UMP, FELDA Gugusan Chini dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) diharap melancarkan lagi kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:24 AM