Agensi

Austin, AS: Apabila Maverick Vinales (gambar) melintasi garisan penamat untuk menjuarai Grand Prix Argentina, dia juga muncul penunggang pertama Yamaha sejak Wayne Rainey pada 1990 untuk memenangi dua perlumbaan pertama musim selain menyertai pencabar utama Marc Marquez dari Honda sebagai dua pelumba yang menang dua perlumbaan pertama dalam era MotoGP.

Kini sasaran berikutnya adalah Litar Americas di Austin, Texas.

Vinales, yang memenangi perlumbaan sulung dan penampilan tunggal Moto2 di litar itu pada 2014, berada dalam kelompok empat teratas tahun lalu sebagai antara pencapaian terbaiknya musim itu.

Namun Litar Americas adalah wilayah Marquez dan Vinales perlu mengalahkan pelumba nombor 93 yang belum pernah kalah itu jika dia mahu mencatat kemenangan ketiga berturut-turut.

Jika Vinales menang di Austin, dia akan muncul pelumba kelima termuda menang tiga perlumbaan kelas perdana itu selepas Marquez, Freddie Spencer, Casey Stoner dan Valentino Rossi. Dia juga akan muncul pelumba termuda menang tiga perlumbaan berturut-turut dengan jentera Yamaha.

“Pusingan berikutnya di Austin dan saya gembira kerana saya menang perlumbaan pertama di sini dalam Moto2, saya sering bertindak baik di sini.

“Saya juga mencatat satu daripada keputusan terbaik di Americas tahun lalu, jadi saya fikir ia litar yang bagus dengan gaya tunggangan saya. Saya amat teruja untuk melihat bagaimana jentera M1 bertindak di sini dan bagaimana rasanya menunggang buat Yamaha. Saya yakin dan sedar boleh melakar satu lagi perlumbaan yang bagus,” kata penunggang Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:27 AM