PEMAIN Monaco meraikan kejayaan benam Dortmund.

Monaco: AS Monaco yang menggegar Eropah tidak akan lupa diri dalam usaha mereka memburu kegemilangan selepas menundukkan Borussia Dortmund untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara, janji jurulatih Leonardo Jardim.

Pasukan dari Mediterranean itu terlalu bagus buat lawan mereka dari Jerman pada suku akhir kedua awal pagi semalam, menang 3-1 di Stade Louis II untuk mara 6-3 secara agregat.

“Kami belum menang apa-apa, tapi kami sudah melakar sejarah,” jelas Jardim, pengendali dari Portugal ketika pasukannya meneruskan kemaraan yang bermula sejak pusingan ketiga kelayakan menentang Fenerbahce, sembilan bulan lalu.

Pemain remaja sensasi Kylian Mbappe (m-3), kapten Radamel Falcao (m-17) dan pemain gantian Valere Germain (m-81) menyumbang gol mereka dengan Marco Reus (m-48) meledak buat Dortmund.

Pasukan terakhir mara dari dua pusingan kelayakan awal untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara adalah Dynamo Kiev pada 1999, sekalipun formatnya berbeza ketika itu.

Tiada siapa menjangkakan Monaco, yang menyingkirkan Manchester City kendalian Pep Guardiola pada pusingan terdahulu, mampu mara jauh namun mereka sudah melakukannya dengan persembahan menakjubkan yang menghasilkan 141 gol setakat ini musim ini.

“Kami sudah membantu Perancis ke separuh akhir. Kami mahu bermain dan berseronok tapi semua empat pasukan mampu memenangi pertandingan ini,” tegas Jardim, ketika Putera Albert berkunjung ke bilik persalinan selepas perlawanan itu.

Monaco bukan saja memburu kegemilangan di Eropah, mereka juga berada di puncak liga Perancis dan layak ke separuh akhir Piala Perancis namun keletihan menjadi musuh utama mereka ketika ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:34 AM