PEJUANG penentang mengawal bas yang membawa penyokong kerajaan di Rashidin, berhampiran Aleppo, semalam. - Agensi

Beirut: Ribuan penduduk yang dipindahkan dari dua bandar yang dikuasai kerajaan Syria terkandas di pusat transit yang dikawal kumpulan penentang semalam, tempat puluhan penduduk terbunuh dalam serangan bom minggu lalu.

Kira-kira 3,000 penduduk itu meninggalkan kediaman mereka awal kelmarin, tetapi terpaksa menghabiskan masa di dalam bas sepanjang malam di kawasan di Rashidin, barat Aleppo, menanti peluang untuk meneruskan perjalanan ke tempat selamat.

Kira-kira 300 penduduk dari bandar yang dikuasai penentang juga terkandas di Ramussa, kawasan yang dikuasai kerajaan Syria.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, kejadian berlaku selepas kumpulan penentang mengemukakan tuntutan terbaru, mendesak kerajaan Syria membebaskan tahanan dalam kalangan penentang.

“Konvoi bas membawa penduduk itu ditahan selagi kerajaan tidak membebaskan 750 tahanan lelaki dan wanita dari penjara rejim. Penentang hanya akan membenarkan konvoi berkenaan bergerak sebaik tahanan itu tiba di kawasan yang dikuasai mereka,” kata kumpulan pemerhati itu.

Minggu lalu, 126 orang, 68 daripadanya kanak-kanak, terbunuh dalam serangan bom kereta di Rashidin, selepas bas mereka ditahan.

Kebanyakan yang mati itu penduduk yang dipindahkan dari bandar Fuaa dan Kafraya, yang majoriti penduduknya penganut fahaman Syiah. Beberapa pekerja bantuan dan pejuang penentang yang mengawal penduduk itu juga terbunuh.

Proses pemindahan penduduk itu adalah fasa pertama dalam perjanjian yang diusahakan oleh penyokong kumpulan penentang, Qatar dan penyokong rejim Syria, Iran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:50 AM