PENYOKONG Nawaz meraikan keputusan Mahkamah Agung yang tidak memecat perdana menteri itu ketika perbicaraan di Islamabad, semalam. - AFP
Agensi

Islamabad: Mahkamah Agung Pakistan semalam mengarahkan perdana menteri negara itu, Nawaz Sharif, disiasat atas dakwaan rasuah.

Arahan itu dibuat selepas hakim berkata, tidak ada bukti yang mencukupi untuk memecatnya.

Nawaz dan anaknya dituduh rasuah selepas pendedahan ‘Panama Papers’ yang mengaitkan keluarga itu dengan perdagangan luar pesisir.

Mahkamah itu menggesa pembentukan satu pasukan penyiasat terdiri daripada pegawai antirasuah dan agensi perisikan (ISI) serta perisikan tentera untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

“Satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan,” kata Hakim Asif Saeed Khosa, seorang daripada lima panel hakim mahkamah itu, ketika mengumumkan keputusannya.

Dua hakim dalam panel itu juga mengecop Nawaz sebagai ‘tidak boleh dipercayai’ dan berkata, dia sepatutnya dipecat, tetapi keputusan itu tidak disokong tiga hakim lain.

“Kami menghormati keputusan mahkamah,” kata anggota Kabinet Nawaz, Khawaja Saad Rafique sejurus selepas keputusan diumumkan semalam.

Kira-kira 1,500 komando polis dan pasukan antirusuhan dikerah mengawal di luar mahkamah di Islamabad itu menjelang pengumuman keputusan berkenaan.

Tuduhan terhadap Nawaz akan menyulitkan parti pimpinannya menghadapi pilihan raya yang akan diadakan hujung tahun depan.

Kes itu timbul selepas pendedahan 11.5 juta dokumen sulit dari syarikat undang-undang Panama, Mossack Fonseca tahun lalu yang mendedahkan kegiatan perdagangan luar pesisir golongan kaya dan berkuasa dunia.

Antara yang termasuk dalam golongan itu ialah tiga daripada empat anak Nawaz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:50 AM