MOHD Ridhwan (tengah) dan Abdul Aziz (kiri) serta Mad Johan menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Johor Bahru: Kenyataan aktivis, Kassim Ahmad yang didakwa menghina Islam dan boleh menggugat keharmonian negara terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang tampil membuat laporan polis, semalam.

Laporan polis itu dibuat Presiden Pertubuhan Muafakat Pendidikan Johor (MPJ) Mohd Ridhwan Othman dan Timbalan Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (PERIMAU) Johor Abdul Aziz MK Makkai Kutty di Balai Polis Central, di sini.

Mereka hadir membuat laporan itu jam 9 pagi ditemani Naib Presiden PERIMAU Johor Mad Johan Jamian.

Menurut Mohd Ridhwan, pihaknya membuat laporan itu bertujuan menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengambil tindakan tegas berhubung kenyataan aktivis berkenaan.

“Kenyataan Kassim Ahmad yang cuba menghasut rakyat Malaysia dan mendesak supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan Islam sebagai Agama Persekutuan dilihat sebagai tidak rasional dan satu ancaman kepada kedaulatan negara serta menjejaskan ketenteraman aman.

“Kita berharap aktivis terbabit dapat menarik balik segala kenyataan yang disiarkan dan jangan cuba untuk memporak-perandakan negara yang harmoni dan bersatu padu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:52 AM