HAMZAH (tengah) menunjukkan biskut yang disyaki mengandungi ganja pada sidang media, semalam.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Ampang: Kepakaran dalam bidang kulinari pastri dipelajari seorang lelaki di luar negara disalah guna bagi menghasilkan biskut coklat ganja yang dijual secara dalam talian.

Suspek berusia 26 tahun yang kini bertugas sebagai wartawan di sebuah agensi berita bagaimanapun ditahan polis bersama empat rakan jam 10.55 malam, Selasa lalu.

Kumpulan pengedar terbabit dikesan aktif menjual ganja sejak setahun lalu sebelum melakukan inovasi dengan menghasilkan biskut ganja atau dipanggil biskut gembira sejak beberapa minggu lalu.

Mereka yang ditahan di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa dikesan sengaja menghasilkan biskut ganja bagi mengaburi aktiviti jenayah yang dilakukan.

Suspek dikatakan ‘mencipta’ resipi baru itu bagi menghilangkan rasa gian selain cuba memasarkan biskut ciptaan itu menerusi penjualan dalam talian.

Difahamkan, setiap balang biskut perisa ganja seberat 215 gram itu dijual pada harga RM150.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya kemudian menyerbu rumah sewa seorang suspek dan menemui empat ketulan daun kering dipercayai ganja seberat 733 gram selain tiga biskut disyaki mengandungi ganja.

Katanya, suspek kemudian membawa polis ke sebuah lagi rumah kira-kira 500 meter dari lokasi serbuan pertama.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui balang berisi biskut coklat disyaki mengandungi ganja. Polis menghantar sampel biskut ini untuk ujian kimia bagi mengesahkan isi kandungannya.

“Ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif ganja. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM7,470,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:53 AM