FADZIL menunjukkan rakaman video kek Apache 24 yang dipotong kumpulan itu. FOTO Muhammad Sulaiman
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Shah Alam: Lapan belas individu termasuk 13 pelajar sekolah menengah disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua suspek berusia 16 hingga 25 tahun itu diberkas di sekitar Klang bermula petang semalam hingga awal pagi tadi.

"Penahanan dibuat hasil laporan polis mengenai video tular memaparkan sekumpulan individu berkumpul di sekitar kawasan sekolah antaranya memotong kek, memegang sepanduk dan memakai baju mempunyai kaitan dengan Geng 24.

"Kita menerusi pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman kemudian segera menjalankan siasatan dan menahan semua suspek bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut beliau, tempoh reman yang diperoleh itu membolehkan pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966.

Kata Fadzil, motif sebenar kejadian itu sedang dikenal pasti dan individu lain yang terbabit dalam video berkenaan diminta tampil kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan:

13 pelajar anggota Geng 24 ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 1:48 PM