S Ambiga (lima kiri) bersama penyokong yang hadir di Mahkamah Tinggi Melaka. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Mahkamah Tinggi Melaka hari ini, menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh memutuskan sama ada permohonan semakan kehakiman bagi cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri ini, boleh dicabar atau sebaliknya.

Penetapan tarikh itu dibuat Pesuruhjaya Tinggi Kehakiman Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, selepas mendengar prosiding yang bermula kira-kira 9 pagi, hari ini.

Enam peguam diketuai Datuk S Ambiga membentangkan hujah untuk mendapakan kebenaran mencabar persempadanan semula itu berkata, beberapa notis dibentangkan termasuk notis meminta kebenaran bagi meneruskan prosedur mengikut peruntukan undang-undang.

"Hari ini kita bentangkan di hadapan Persuruhjaya Tinggi Kehakiman hujah untuk mencabar dan pada 3 Mei depan, kita akan tahu sama ada kami berjaya atau tidak.

"Jika mendapat kebenaran mencabar, kita akan ke peringkat kedua iaitu pendengaran penuh atau terperinci," kata Ambiga, ditemui di luar kamar Mahkamah.

Dalam prosiding itu, pihak defendan diwakili dua Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad mewakili SPR yang dinamakan sebagai defendan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:25 PM