KAKITANGAN Jabatan Taman Laut Malaysia negeri Johor memeriksa bangkai dugong yang ditemui. FOTO Zul Ikhwan Muhammad
Mohd Sah Muda

Mersing: Bangkai dugong ditemui oleh penduduk di perairan Pantai Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi di sini, semalam.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, bangkai mamalia itu yang ditemui pada 5 petang sudah diambil dan dihantar ke Pangkalan Hadapan Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor di Mersing.

Katanya, ia kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Johor untuk siasatan terperinci bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang.

"Ia adalah prosedur yang diambil apabila menangani kematian membabitkan spesis terancam yang digazetkan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Bangkai mamalia akuatik itu akan dibedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya," katanya melalui satu kenyataan kepada media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:39 PM