Dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di dua pusat hiburan di Taman Sentosa, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Ibrahim Isa
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis menyelamatkan 67 wanita warga asing termasuk 36 daripadanya di bawah umur dipercayai dijadikan pelayan pelanggan dalam dua serbuan berasingan di pusat hiburan di Taman Sentosa di sini, 1.30 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Ops Noda dilakukan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman; Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM40,000.

"Semua wanita bawah 18 tahun yang diselamatkan itu adalah warga Vietnam dan dilakukan di dua pusat hiburan di Taman Sentosa.

"Dalam serbuan sama, kami menyelamatkan 26 wanita China; empat warga Vietnam dan seorang warga Taiwan berusia 20 hingga 28 tahun.

"Selain itu, kami merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM40,000 daripada seorang pengedar dadah lelaki berusia 20-an," katanya dalam kenyataan kepada hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol .9 Beretta, sebilah pedang dan set mencuci pistol daripada seorang seorang pengurus pusat hiburan dan pembantu wanita warga China berusia 30-an hingga 50-an.

Selain itu katanya, 26 pengunjung pusat hiburan itu ditahan selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

"Kami akan memohon perintah tahanan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM); Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Enakmen Negeri Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:29 PM