PESAWAT Breitling DC-3 yang berusia 77 tahun selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Pesawat Breitling DC-3, yang dalam misi mengelilingi dunia sempena sambutan ulang tahun ke-77 pesawat berkenaan singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Pesawat itu yang memulakan pengembaraan dari Switzerland pada 9 Mac lalu mendarat di KKIA kira-kira 4 petang tadi.

Ia dijadualkan berlepas ke Manila, pagi esok.

Berdasarkan kenyataan di laman web rasminya, pesawat itu akan singgah di 54 negara dalam tempoh tujuh bulan sebelum menamatkan misinya pada Pameran Udara Breitling Sion, pada September depan.

Dibina pada 1935, pesawat DC-3 adalah pesawat komersial pertama di dunia serta pernah terbabit dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Pesawat itu melakukan penerbangan pertama pada 9 Mac 1940 di Amerika Syarikat.

Ia menjadi pesawat penerbangan komersial popular sehingga lebih 16,000 dihasilkan.

Hari ini, hanya ada kurang 150 pesawat itu di seluruh dunia, dengan 15 daripadanya di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:38 PM