Anggota HAZMAT membersihkan tumpahan raksa di IPTS di Alor Gajah, hari ini. FOTO ihsan bomba
Hasbulllah Azhar
am@hmetro.com.my


Alor Gajah: Seorang daripada empat penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Alor Gajah, dibawa ke hospital selepas muntah dikhuatiri akibat terdedah kepada tumpahan raksa, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian 12 tengah hari itu, empat penuntut masing-masing berusia 19 tahun termasuk seorang lelaki sedang melakukan uji kaji di dalam sebuah makmal, sebelum hujung termometer digunakan tiba-tiba pecah.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Roslan Manas berkata, tumpahan mengenai pakaian penuntut perempuan terbabit selain tumpah di atas meja dan lantai makmal.

"Berikutan itu semua mangsa diarahkan menjalani proses nyah cemar, namun selepas prosedur itu selesai penuntut perempuan terbabit muntah, dia kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk pemeriksaan lanjut.

"Kami tidak boleh sahkan mangsa muntah akibat terdedah kepada raksa dan perlu tunggu laporan dikeluarkan pihak hospital," katanya.

Beliau berkata, 10 anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) mengambil masa sejam untuk membersihkan tumpahan raksa.

Pakaian semua penuntut terbabit juga diambil untuk dilupuskan selain mengarahkan makmal terbabit ditutup sementara atas sebab keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:54 PM