BANGUNAN Bank Negara Malaysia. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Pasukan Petugas Khas menyiasat kerugian mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka membentangkan laporan akhir yang mengandungi syor untuk tindakan selanjutnya kepada kerajaan Jun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, sehingga kini pasukan ini sudah menemubual beberapa individu yang dikenal pasti termasuk yang hadir secara sukarela untuk memberi maklumat berkaitan dengan isu kerugian BNM ini.

"Selain itu, beberapa dokumen sedia seperti Laporan Kewangan Tahunan BNM, Laporan Article IV oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), penyata rasmi Parlimen, kenyataan media dan penerbitan yang berkaitan juga sudah diteliti.

"Justeru, pasukan ini akan menjemput lagi pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung, serta pihak yang mendakwa mempunyai maklumat dan bahan berkait rapat dengan kerugian mata wang asing pada tahun 90-an itu dalam masa terdekat ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sidek berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Pasukan Petugas Khas di atas perkongsian maklumat secara sukarela melalui emel.

Katanya, maklumat ini dapat membimbing Pasukan Petugas Khas untuk mencari lebih banyak maklumat yang berkenaan bagi memberi gambaran sebenar kerugian BNM akibat aktiviti spekulasi urus niaga mata wang asing itu, termasuk kebarangkalian 'cover up' (menutup) kerugian.

"Sehubungan itu, kami menggesa individu yang mendakwa mempunyai maklumat dan dokumen berhubung kerugian urus niaga ini untuk tampil berkongsi maklumat dengan Sekretariat Pasukan Petugas Khas,"katanya.

Menurutnya, pasukan ini sudah mengadakan enam mesyuarat sejak mesyuarat pertamanya pada 16 Mac

lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 7:00 PM