Nelydia gagal hadir diri prosiding kes. FOTO fail HM
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon, Nelydia Senrose atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 23, dikenakan waran tangkap kerana gagal menghadirkan diri bagi prosiding kes selepas dituduh tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) selama lima tahun berturut-turut.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, artis muda itu menghadapi lima pertuduhan kerana gagal untuk mematuhi notis di bawah Seksyen 78(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Nelydia dikehendaki mengemukakan Borang B bagi lima tahun taksiran iaitu 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

"Saman sudah diserahkan kepada tertuduh dengan sempurna pada 11 April lalu mengkehendaki tertuduh hadir sesi sebutan kes pada 12 April di Mahkamah Majistret Shah Alam tetapi tertuduh atau wakil gagal hadir," katanya.

Tambahnya, Peguam Hasil Nurulsheeda Mohd Yahaya memohon satu perintah waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh dan dibenarkan oleh Majistret Sarulatha Paramavathar.

Selain itu, LHDN berkata, Nelydia turut menghadapi satu pertuduhan lagi kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 ACP1967 bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDN.

"Kegagalan mematuhi kedua-dua notis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 120 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan jika bersalah tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM200 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara bagi satu tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 7:26 PM