Kemalangan di Kilometer 28.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Pulai Chondong yang mengorbankan suami isteri. FOTO ihsan pembaca
Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my


Machang: Suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki dirempuh kereta lain dalam kejadian di Kilometer 28.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Pulai Chondong di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang, Ghazali Seman, 71 dan Siti Fatimah Hamzah, 70, maut di tempat kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, Ghazali yang memandu kereta jenis Daihatsu Charade memandu dari arah Machang menghala ke Kota Bharu.

"Bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian mangsa dikatakan membuat pusingan U sebelum dilanggar kereta jenis Volkswagen Polo yang datang dari arah bertentangan.

" Kemalangan menyebabkan kereta dinaiki suami isteri itu terbakar namun mereka sempat dikeluarkan.

"Pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian manakala pemandu Volkswagen tidak cedera," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 8:11 PM