Abdul Jalil (berdiri lapan dari kiri) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar (Berdiri tujuh dari kiri) meraikan kejayaan bersama wartawan, jurugambar dan grafik Kumpulan NSTP sempena majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI- Petronas 2016, malam tadi. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Idris Musa
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Info grafik Rumah Tradisional Melayu: Keunikan dan Kebijaksanaan Senibina melayakkan Harian Metro (HM) muncul pemenang utama kategori Info Grafik Terbaik pada pertandingan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2016 (HKM 2016), di sini, malam tadi.

Kemenangan itu diperoleh menerusi wartawan Mohd Azam Shah Yaacob dan pereka grafik Nor Salim Mohamed Dawam.

Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Wartawan HM Amir Abdul Hamid dan Kalidevi Mogan Kumarappa pula masing-masing memperoleh hadiah saguhati bagi kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang dan Laporan Berita Cemerlang.

Anugerah utama HKM 2016 iaitu Hadiah Kajai dimenangi oleh wartawan dari The Star sekali gus menerima hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan sijil.

Manakala anugerah Tokoh Media 2016 disampaikan kepada kepada Pengasas Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacob.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM300,000 tajaan Petronas.

Kali ini sebanyak 291 penyertaan diterima pihak urusetia termasuk dalam kategori foto, kartun editorial, berita dan dokumentari video serta laporan radio.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, NSTP terus menunjukkan kualiti tertinggi kewartawanan seperti yang ditunjukkan pelbagai penerima anugerah MPI malam tadi.

“Kami komited untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik kepada pembaca dengan menyediakan kandungan berita berkualiti dan mampu memenangi anugerah.

“Tahniah kepada semua pemenang daripada NSTP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 11:18 PM