Ketum yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Sungai Siput: Lelaki berusia 45 tahun ditahan polis selepas menjadikan stor di rumahnya sebagai lokasi pemprosesan daun ketum di Kampung Suak Plang, di sini, hari ini.

Dalam serbuan 1.15 tengah hari itu, suspek ditahan ketika sedang merebus daun ketum di belakang rumah.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan polis menemui beberapa bungkus daun ketum serta peralatan memproses ketum.

Katanya, polis turut merampas 160 bungkusan berisi air ketum, satu periuk yang mengandungi daun ketum yang direbus dan dua bekas plastik berwarna hitam dianggarkan seberat enam kilogram (kg).

Beliau berkata, suspek dipercayai mampu meraih pulangan antara RM5,000 hingga RM7,000 jika semua daun ketum berkenaan dapat dijual.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 11:56 PM