Laporan Harian Metro mengenai pengorbanan Salihin.
Antara peserta negara yang bertanding dalam Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania. FOTO Ihsan MCF
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persekutuan Catur Malaysia (MCF) berhasrat untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meminta sokongan demi pembangunan sukan catur di negara ini.

Setiausaha Ekskutif MCF, Nik Hishamuddin Nik Mustapha berkata, di bawah pentadbiran baru sejak tiga bulan lalu, MCF nekad untuk menjenamakan semula sukan ini apatah lagi selepas mengetahui ada peserta yang terpaksa mencari dana sendiri untuk bertanding di luar negara.

"Kalau boleh saya mahu bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk meminta sokongannya memandangkan ramai sebenarnya yang meminati catur.

"MCF juga mengambil maklum kisah Salihin Ahmad, 45, yang terpaksa menjual rumah untuk menampung perbelanjaan membawa dua anaknya menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 selepas terbaca di Harian Metro," katanya ketika dihubungi Harian Metro malam tadi.

Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan yang Salihin terpaksa menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 untuk membawa anak sulung, Nur Anisah, 17, dan anak keenam, Afiqah Zahra, 7, menyertai pertandingan itu di Iasa, Romania yang bermula semalam.

"Salihin ada hubungi saya sebelum kejohanan ini, tetapi disebabkan MCF baru saja bertukar pentadbiran baru sejak tiga bulan lalu dan kalendar kejohanan juga sudah keluar, kita tidak sempat untuk membantu mencari penaja.

"Apapun demi pembangunan sukan catur ini kita mengambil maklum mengenai masalah yang dihadapi seperti ini supaya sukan catur dapat dimartabatkan dan mampu pergi lebih jauh," katanya.

Nik Hishamuddin berkata, selepas mengetahui keadaan dihadapi Salihin, beliau akan mencadangkan mekanisme baru kepada MCF.

"Saya akan cadangkan kepada Presiden, Datuk Zaidi Zainal Abidin pada Selasa ini supaya peserta yang ingin bertanding di luar negara bekerjasama dengan MCF enam bulan sebelum kejohanan.

"Tulis surat kepada MCF, supaya kita dapat membantu untuk mencari penaja untuk kejohanan itu dan mungkin biasiswa untuk mereka sepanjang tahun untuk menampung perbelanjaan menyertai kejohanan luar negara," katanya.

Sementara itu, cabaran negara ke kejohanan berprestij itu digalas 16 peserta iaitu dalam kategori perempuan bawah 7 tahun, terbuka bawah 9 tahun, perempuan bawah 13 tahun, terbuka bawah 13 tahun, terbuka bawah 15 tahun, perempuan bawah 17 tahun dan terbuka bawah 17 tahun.

Mereka akan bersaing dalam sembilan pusingan sebelum mata keseluruhan dikira untuk mengisytiharkan pemenang dijangka pada 30 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 5:00 PM