AFIQAH Zahra menewaskan Ziana Singh untuk menduduki ranking kedua selepas empat pusingan. FOTO Ihsan Salihin Ahmad
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bangkit daripada kekecewaan di pusingan ketiga kelmarin, Afiqah Zahra Salihin, 7, mengejutkan peserta ranking kedua kejohanan di pusingan keempat pada Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang itu menundukkan peserta individu, Ziana Singh semalam, untuk berada di ranking kedua daripada 28 peserta selepas berakhir empat pusingan.

Bapa kanak-kanak itu, Salihin Ahmad, 45, berkata, anak keenam dari sembilan beradik itu terpaksa berhempas pulas selama tiga jam sebelum menang.

"Alhamdullillah 3 jam berhempas pulas akhirnya menang. Bawa jalan-jalan sebelum solat asar. Walaupun salji dah tiada bahang mentari memancar namun suhu masih sejuk.

"Doakan kesejahteraan kami, diberi petunjuk, moga Afiqah menang lagi esok (hari ini). Walau kakaknya, Anisah kecundang. Memang sukar menghadapi U17. Saya pun boleh kalah," katanya.

Ketika dihubungi Harian Metro malam tadi, Salihin yang juga guru bahasa melayu SK Sungai Udang berkata, Afiqah Zahra bagaimanapun tidak menerima saingan mudah daripada keempat-empat lawannya sebelum ini.

"Perlawanan tadi (semalam) saya dah lihat game (permainan) lawannya. Saya dah jangka dia boleh menang cuma risau kesilapan-kesilapan yang kerap dilakukan. Masa lawan dua peserta Mongolia yang kalah dan menang, dua-dua pun sukar untuknya menang mudah.

"Ketika dia kalah pusingan ketiga memang ada sedikit kesilapan, memberi ruang lawan untuk memerangkapnya. Harap pusingan seterusnya dia mampu perbaiki kesilapan-kesilapan lalu," katanya.

Salihin sebelum ini berkorban demi anak-anaknya apabila sanggup menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 untuk menampung perbelanjaan ke pertandingan yang berlangsung di Iasa, Romania itu.

Afiqah Zahra menang di pusingan pertama dan kedua sebelum tewas di pusingan ketiga dengan peserta Mongolia, Maral Bat-Ulzii dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

Sementara itu, kakak sulungnya, Nur Anisah, 17, yang bertanding dalam kategori perempuan bawah 17 tahun pula kecundang di tangan peserta tuan rumah, Emilia-Florentina Coman di pusingan keempat.

Dia terdahulu tewas di pusingan pertama, seri di pusingan kedua dan menang di pusingan ketiga dan kini di ranking ke-17 daripada 26 peserta.

Enam belas peserta Malaysia menggalas cabaran negara dalam pertandingan sembilan pusingan itu dan dijangka berakhir pada 30 April nanti.

Kejohanan ini disertai lebih 500 murid dan pelajar sekolah berusia antara 7 hingga 17 tahun dengan 200 pengiring dari 41 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 9:41 AM