BERSAMA pelajar yang menyertai kelas tambahan.
Rodly Fadly
wanitametro@hmetro.com


Kisah Cikgu Erin, seorang mak nyah yang kembali ke pangkal jalan pernah tular di laman maya dan mendapat liputan meluas media sekitar 2012. Keterbukaan guru ini menceritakan ‘kisah jijik’ dilaluinya sepanjang bergelar mak nyah membuka mata banyak pihak.

Ada yang menilai keberaniannya membuka pekung di dada itu dari sudut positif namun pada masa sama, tidak kurang yang mencebik muka dan mempertikaikan niatnya.

Malah, ada yang skeptikal dengan penghijrahan Erin serta tidak yakin dia dapat bertahan dengan dunia baru sebagai lelaki selepas lebih 20 tahun terperangkap dalam jiwa wanita.

Kini, selepas lima tahun, Erin atau nama sebenarnya Mohd Khariri Mohamad Ramli, 39, berjaya mematahkan semua tanggapan negatif yang dilemparkan ke atasnya. Walaupun secara fizikal, dia masih tidak mampu membuang perwatakan lembut, secara dalaman dia mendakwa sudah bergelar lelaki sejati.

Bagaimanapun, Erin mengakui bukan mudah bagi seorang mak nyah sepertinya untuk kembali ke pangkal jalan. Selepas melaluinya, dia kini faham mengapa ramai rakan senasib kecundang dalam usaha kembali kepada fitrah.

“Saya akui amat sukar untuk orang seperti kami kembali menjadi lelaki selepas sekian lama bergelar ‘wanita’. Cabaran dan dugaannya terlalu hebat, jika tidak kuat pendirian dan iman, boleh menyebabkan berpatah balik.

“Saya sendiri hanya berjaya selepas enam kali mencuba. Kali pertama hingga kelima, saya gagal menangani cabaran dan kembali menjadi mak nyah hanya selepas beberapa bulan menjadi lelaki,” ujar Erin.

Namun kegagalan itu dijadikan panduan oleh Erin apabila dia sekali lagi bertekad berubah pada 2012. Kali ini dia sudah bersedia secara fizikal dan juga mental.

“Antara faktor saya gagal sebelum itu kerana jiwa kosong sehingga tidak kuat menahan godaan dan cabaran.

“Saya cuba berubah namun pada masa sama tetap mendampingi rakan yang masih melakukan kegiatan songsang. Akhirnya, saya kembali terjerumus.

“Apatah lagi apabila masyarakat masih meragui niat saya itu malah langsung tidak memberi sokongan. Sebaliknya mereka memandang hina terhadap saya. Tekanan sebegini menyebabkan saya berputus asa.

“Tapi apabila mengambil keputusan berubah pada 2012, saya bertekad walau apa pun cabaran yang bakal dihadapi, saya akan tempuh. Alhamdulillah, kali ini saya berjaya,” katanya.

Menurut Erin, keazaman untuk berubah banyak bertitik tolak daripada kekecewaan terhadap kebanyakan lelaki yang mendampinginya sepanjang bergelar mak nyah.

“Sebagai seorang yang mempunyai naluri wanita, saya pernah bercinta dengan beberapa lelaki. Tapi, ternyata mereka hanya memperalatkan saya untuk kepentingan diri.

“Kemuncak kesengsaraan itu apabila kekasih mencederakan saya sehingga parah. Pada ketika itu, saya rasa cukuplah kerana mula sedar apa yang saya kejar selama ini hanya harapan palsu,” kata Erin.

Pada masa sama, Erin tidak menafikan rasa bersalah kepada ibu bapa dan keluarga turut mendorongnya kembali ke pangkal jalan.

“Saya sangat kasihan kepada emak dan ayah yang menjadi mangsa kejian masyarakat kerana perbuatan saya. Namun mereka sentiasa bersabar dan menasihati saya supaya berubah.

“Malah, menurut emak setiap kali ke Makkah, dia tidak pernah lupa mendoakan agar saya kembali menjadi seorang lelaki. Mungkin juga apa yang berlaku sekarang berkat doa ibu bapa saya.

“Bagi saya cukuplah emak saya menangis. Pada usianya 70 tahun, saya mahu lihat dia hidup tenang apatah lagi selepas ayah meninggal dunia,” katanya.

Menceritakan liku yang dilalui sepanjang penghijrahannya, Erin berkata cabaran utama adalah ‘membunuh’ naluri wanita yang sudah sebati dalam tubuhnya.

“Saya memiliki naluri ini sejak kanak-kanak, jadi bukan mudah untuk membuangnya dalam sekelip mata. Pernah beberapa kali datang godaan supaya kembali menjadi mak nyah menyebabkan saya mengalami tekanan dan kemurungan.

“Oleh itu, selain mendapatkan rawatan secara Islam, saya juga mendekatkan diri dengan agama seperti bersolat, berpuasa, mengaji al-Quran dan menyertai kuliah.

“Setiap kali teringat zaman silam, cepat-cepat saya ambil wuduk dan bersolat. Selepas itu saya menghabiskan masa dengan membaca al-Quran. Alhamdulillah, saya yakin atas hidayah Allah, saya mampu mengatasi kecelaruan itu.

“Saya juga mengubah penampilan kepada lelaki dengan membuang semua pakaian wanita dan memotong pendek rambut. Di samping itu saya ke gimnasium untuk membina otot sebagai lelaki.

“Namun, pengorbanan paling besar, saya menjalani pembedahan membuang payudara pada 2014. Komplikasi daripada pembedahan itu menyebabkan saya menderita berbulan-bulan lamanya,” katanya.

Erin berkata dia juga menjauhkan diri daripada rakan mak nyah sebagai langkah mengelak daripada kembali terpengaruh dengan cara kehidupan mereka.

“Ramai kawan mak nyah yang kecil hati kerana sikap saya itu tapi perlu melakukan kerana bimbang tidak tahan godaan.

“Ada juga yang marah sehingga mengugut mahu mencederakan saya. Namun, ketika itu saya serahkan diri bulat-bulat kepada Allah untuk dilindungi.

“Apabila yakin iman benar-benar teguh, saya kembali menemui rakan lama, berdakwah dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah setakat ini saya berjaya menghijrahkan beberapa orang mak nyah,” ujar guru Bahasa Malaysia sebuah sekolah di Klang, Selangor ini.

Bagaimanapun, Erin berkata selepas lima tahun bergelar lelaki, cabarannya masih belum bernoktah terutama pandangan segelintir masyarakat terhadapnya.

“Ada yang masih sangsi dengan keikhlasan saya kembali menjadi lelaki. Apatah lagi ciri-ciri lelaki lembut masih ada dalam diri saya.

“Malah, penggunaan nama Erin turut dijadikan isu sedangkan ia sekadar nama panggilan untuk saya manakala untuk urusan rasmi tetap menggunakan nama Khariri. Ada juga yang menuduh saya sengaja mencari publisiti murahan untuk menjadi glamor.

“Malah, ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak lelaki mereka rapat dengan saya kerana bimbang dicabul. Walaupun sedih dengan tanggapan sebegini, saya reda kerana hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam hati saya,” katanya.

Bagi Erin, walau apa pun pandangan masyarakat terhadap dirinya, dia akan meneruskan misi dakwah. Selain memberi ceramah kesedaran kepada kalangan penuntut institusi pengajian tinggi serta sekolah, Erin turut dijemput oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan kempen berkaitan bahaya kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Dia juga mewujudkan kelas mengaji al-Quran untuk penduduk di sekitar taman perumahan yang didiaminya dan kelas tambahan percuma kepada pelajar di kawasan itu.

“Saya bercita-cita menubuhkan sebuah rumah pelindungan untuk golongan tidak bernasib baik. Saya harap segala kebajikan yang sedang dan bakal dilakukan dapat menghapuskan dosa silam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 1:02 PM