Ziela masih belum dapat surat saman. FOTO Instagram Ziela
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penerbit Datuk Ziela Jalil yang berdepan saman RM10 juta daripada penulis novel 7 Hari Mencintaimu iaitu Siti Rosmizah Semail enggan mengulas lanjut perkara itu.

Ziela berkata, dia menyerahkan segala urusan kepada peguamnya memandangkan ia kini menjadi kes mahkamah.

"Saya mendapat nasihat daripada peguam untuk tidak memberikan sebarang komen dan maklum balas. Jadi tunggu saja perkembangan kes ini.

"Lagi pun saya masih belum menerima surat saman daripada pihak Siti Rosmizah. Selepas itu baru kita boleh lihat proses seterusnya," katanya kepada Harian Metro.

Semalam penulis novel yang juga penerbit bersama drama 7 Mencintaimu yang ditayangkan di slot Akasia di TV3 tahun lalu itu memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam tuntutan itu, Siti Rosmizah mendakwa Ziela mengaibkan dan menjatuhkan reputasinya.

Berdasarkan penyata tuntutan, Siti Rosmizah sebagai plaintif mendakwa pada 9 Februari dan 10 April lalu, Ziela sebagai defendan memuat naik, menyiarkan, menyebarkan dan menghebahkan kenyataan fitnah di laman sosial Instagram miliknya.

Selaku plantif, Siti Rosmizah menuntut injunksi bagi menghalang Ziela daripada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya daripada sebarang medium, selain ganti rugi khas, am, teladan, faedah dan kos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 6:06 PM