ADIK Afiqah Zahra Salihin selepas menewaskan lawannya. FOTO ihsan Salihin Ahmad
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Setelah dua kali terpaksa berkongsi mata dengan pihak lawan, pemain catur cilik, Afiqah Zahra Salihin, 7, akhirnya meraih mata penuh di pusingan ketujuh pada Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang itu membenam lawan dari Kazakhstan, Elnaz Kaliakhmet selepas bertarung hampir tiga jam dalam kategori perempuan bawah 7 tahun semalam.

Bapa merangkap jurulatihnya, Salihin Ahmad, 45, berkata, taktik yang digunakan anak keenam daripada sembilan beradik itu lebih kemas apabila bijak membaca pergerakan lawan.

"Alhamdulillah, permainannya seperti pusingan pertama ketika dia kalahkan pemain di ranking pertama sekarang dari Mongolia. Jika dia kekalkan begitu, dia tak akan kalah dengan Maral Batt-Ulzii dari Mongolia dan tidak seri dengan dua lagi pemain. 

"Kali ini pergerakannya kemas dan dapat membaca pergerakan lawan. Untuk mengekalkan stamina agak sukar kerana duduk di kerusi berjam-jam memang meletihkan. Sebelum ke dewan kejohanan mereka tidur dalam 30 minit sebelum mandi untuk menyegarkan badan," katanya ketika dihubungi Harian Metro malam tadi. 

Salihin yang juga guru bahasa melayu di sekolah anaknya itu turut berharap agar fokus anaknya kekal mantap selain berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan.

"Harap dia kekal fokus untuk baki dua perlawanan dan dapat membawa balik kejuaraan. Sama-sama kita doakan kejayaannya. Terima kasih rakyat Malaysia yang mendoakannya," katanya.

Perjalanan Salihin dan Afiqah Zahra bersama anak sulungnya, Nur Anisah, 17, ke pertandingan yang berlangsung di bandar Iasa, Romania itu tidak mudah apabila Salihin terpaksa menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000.

Pengorbanan itu terpaksa dilakukan disebabkan kekurangan dana dan tiada penajaan asalkan dua anaknya itu berpeluang bertanding dan menerima pendedahan dalam kejohanan disertai lebih 500 murid dan pelajar sekolah dari 41 negara.

Sementara itu, berita gembira turut diterima di papan catur kategori perempuan bawah 17 tahun apabila Nur Anisah turut menang ke atas lawan dari Sri Lanka, Dishani Chanika selepas seri dua kali sebelum ini.

Afiqah Zahra yang kini menduduki ranking ketiga bakal berdepan dengan seorang lagi peserta Kazakhstan, Diana Tynyshtyk hari ini, manakala Nur Anisah (ranking 15) akan bertemu rakan senegara, Vivien Ngieng di pusingan kelapan.

 

Berita berkaitan: 

Demi anak...

Doakan kejayaan mereka

MCF berhasrat jumpa TPM

Jaguh catur cilik negara teruskan cabaran

'Moga kuat semangatnya...'

Hebat adik Afiqah

 

Afiqah seri lagi

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 9:46 AM