Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my

Port Dickson: Kira-kira 1,000 penunggang dan pembonceng ditahan pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di persimpangan Sua Betong, di sini, malam tadi.

Operasi bermula jam 9 malam itu diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Zainudin Ahmad bersama tujuh pegawai dan 113 anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Md Dali Wahid berkata, operasi dijalankan bagi mengesan kesalahan trafik selain sering menerima aduan penduduk mengenai bunyi bising.

"Kita mengepung jalan utama di persimpangan Sua Betong dan hasilnya kira-kira 1,000 orang berjaya ditahan. Ada penunggang yang cuba melarikan diri dengan merempuh tiga kereta peronda polis.

"Selepas ditahan, mereka diarah menolak motosikal sejauh lima kilometer ke Balai Polis Telok Kemang untuk pemeriksaan lanjut," katanya sebaik selesai operasi, pagi ini.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengesan kesalahan trafik dilakukan termasuk ujian saringan air kencing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 9:17 AM
Antara penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan dalam operasi bersepadu di persimpangan Sua Betong malam tadi. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan