Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bekas pelumba negara Rosman Alwi mengingatkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) supaya sentiasa memantau perkembangan pelumba di rantau Asia Tenggara supaya sasaran 13 emas Sukan SEA dapat menjadi realiti.

Jelasnya, Malaysia tidak boleh sekadar berpandukan kepada prestasi dan kejayaan dicapai sebelum kejohanan sebenar bermula sebaliknya meneliti dengan lebih dekat cabaran pelumba lain.

“Bagi saya sasaran 13 emas bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Cuma kita perlu mengkaji dengan teliti lawan yang bakal beraksi nanti.

“Kita tidak boleh berpandukan kejayaan pelumba negara yang diraih sebelum Sukan SEA. Mungkin sesetengah atlet luar masih belum mencapai 100 peratus dalam kejohanan tertentu kerana mahu mencapai kemuncak di Sukan SEA. Ini yang perlu diawasi,” jelasnya yang pernah meraih beberapa emas pada temasya dwitahunan itu.

Rosman yang pernah beraksi di pentas Olimpik berkata, sebagai contoh ketika mahu menyertai sesuatu kejohanan beliau sendiri akan mengkaji prestasi lawan selama tiga bulan.

“Berdasarkan situasi semasa, saya menjangkakan Indonesia akan menjadi pencabar utama pada Sukan SEA nanti. Saya difahamkan mereka turut menjalani latihan di luar negara.

“Malah, catatan masa dilakukan mereka tidak terlalu jauh dengan pelumba kita,” katanya yang turut tidak menafikan peningkatan dipamerkan pelumba Thailand.

Acara berbasikal terutama trek menjadi harapan utama negara meraih emas dalam membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan.

Sandaran utama tertumpu kepada barisan pelumba negara diketuai Azizulhasni Awang yang kini giat berlatih di Melbourne, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:42 AM