mutakhir

62 bekas penagih dadah tamat program muhasabah diri

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Kubang Pasu: Seramai 62 bekas penagih dadah sekitar Jitra berjaya menamatkan program dua hari Muhasabah Diri Orang Kena Pengawasan (OKP) Kembali ke Pangkal Jalan yang berlangsung di Masjid Al-Aqla, di sini, semalam.

Pengerusi Biro Kerohanian dan Keagamaan, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Kubang Pasu, Shahidan Abdullah berkata, selama dua hari ini, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.

“Mereka dikejutkan pada jam 3 pagi untuk sesi Qiamullail dan seterusnya kuliah Subuh serta sesi dialog bagi mereka meluahkan apa yang terbuku di hati dan aktiviti ini mendapat kerjasama sepenuhnya.

“OKP ini mahu berubah, tetapi memerlukan sokongan ahli keluarga dan masyarakat di mana melalui program sebegini memberi kesedaran bahawa masyarakat masih menerima mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu, Mohd Zaki Ablah berkata, peserta itu adalah sebahagian daripada 819 OKP di seluruh daerah Kubang Pasu

“OKP ini adalah bekas penagih yang selesai menjalani rawatan pemulihan, tetapi perlu berada dalam pengawasan AADK selama 24 hingga 36 bulan mengikut Seksyen 6 (1) (a) dan 6(1) (b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Mereka perlu hadir dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh AADK dan kegagalan menghadirinya akan dikenakan tindakan,” katanya.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:37am
d