global

Ibu pejabat Google RM5.5 bilion

Oleh Agensi

GOOGLE membentang cadangan akhirnya untuk membina ibu pejabat bernilai £1 bilion (RM5.5 bilion) di United Kingdom dilengkapi pod tidur, ruang bersukan dan taman di bumbung yang turut mempunyai trek larian sepanjang 200 meter untuk kesejahteraan 7,000 kakitangannya nanti.

Kompleks ibu pejabat seluas 870,000 kaki persegi syarikat gergasi teknologi itu akan dibina bersebelahan Stesen King Cross di London, yang pereka menganggap bakal menjadi tempat kerja terbaik di dunia. Pembinaan dijangka bermula pada 2018.

Menurut Daily Mail, selain padang permainan gergasi, ibu pejabat itu juga dilengkapi kolam renang bersaiz separuh Olimpik, pusat riadah dan bersukan, termasuk gimnasium dan sukan dalam dewan seperti bola keranjang dan bola sepak.

Taman di bumbung sepanjang 300 meter akan mempunyai padang dan kafe menyediakan minuman serta makanan percuma kepada kakitangan yang bersantai.

Bahagian pejabat di dalam bangunan mempunyai ‘kawasan berhenti seketika’ di kelilingi tumbuhan dan ‘dinding hidup’ yang menghijau serta pod tidur jika pekerja perlu tidur sekejap atau bermalam di pejabat.

Google sudah menyerahkan pelan bangunan itu kepada Majlis Camden untuk kelulusan.

Google yang mempunyai 4,000 pekerja di UK dan merancang mengambil lagi 3,000 orang, sudah menyerahkan tender pembinaan bangunan pertama setinggi 11 tingkat dengan jumlah ruang lantai bersamaan 10 padang bola.

Ia akan membina dua lagi bangunan bersebelahan King Cross Estate bagi menempatkan 7,000 pekerja itu dalam tiga bangunan.

Kompleks ibu pejabat itu direka bentuk Heatherwick Studio dan Bjarke Ingels Group.

Google merancang kompleks itu siap pada 2018 namun pada 2015, pengasas bersama syarikat itu, Larry Page, mengarahkan pasukan Google UK mengemukakan reka bentuk dan konsep baru.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:52pm
d