mutakhir

Jenazah adik ipar TPM selamat dikebumikan

Oleh Nur Saliawati Salberi

JENAZAH adik ipar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kamarulzaman Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Solok Air Batu, Kampung Durian Daun, Melaka, kira-kira 3 petang, hari ini.

Allahyarham Kamarulzaman, 59, yang juga adik kepada isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju, 10.59 pagi tadi kerana komplikasi jantung.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan dikafankan di surau hospital berkenaan, sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kampung Durian Daun pada 2.45 petang.

Kira-kira 500 orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham termasuk ahli keluarga, rakan serta penduduk kampung.

Jenazah yang tiba di Masjid Salmah Khamis, Durian Daun, sekali lagi disembahyangkan dan diimamkan oleh Imam Satu Masjid Salmah Khamis, Ustaz Abu Said Jaafar.

Hadir sama ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Allahyarham yang juga anak ketiga daripada lima beradik meninggalkan seorang balu, Azaryasmin Mahat, 55, dan dua anak, Mohamad Akhlami, 29; dan Atiqah Hanani, 27.

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 5:21pm
d