mutakhir

Hanya sejam hujan Ranau banjir

Oleh Cleo Will

HUJAN lebat selama sejam di Ranau, Sabah, menyebabkan beberapa kawasan sekitar daerah ini dilanda banjir kilat.

Tinjauan mendapati, antara kawasan yang terjejas termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Gereja Saint Peter Claver Ranau, Stesen Minyak Petron, Plaza Kiaburi dan beberapa lokasi lain.

Banjir juga menyebabkan aliran trafik di beberapa kawasan di daerah itu terjejas kerana jalan raya dinaiki air.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata, tindakan perlu diambil segera untuk mengatasi masalah banjir kilat yang melanda daerah itu.

"Saya sudah meminta Pegawai Daerah memanggil jurutera termasuk dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Ranau dan agensi lain yang berkaitan untuk mengadakan mesyuarat tergempar berhubung banjir kilat yang sering berlaku di Ranau kebelakangan ini.

"Mungkin ada parit tersumbat atau kerja yang dibuat tanpa mengikut spesifikasi sehingga air hujan bertakung di beberapa lokasi tertentu," katanya ketika hari ini.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan mahu pihak berkenaan mengenal pasti punca lain yang menjurus kepada banjir kilat di sekitar pekan Ranau dan mencari cara menangani masalah itu.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 7:05pm
d