mutakhir

Lancar tabung khas

Oleh Norazimah Narudin

Pasir Gudang: Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) melancarkan tabung khas untuk penuntut jurusan Diploma Elektronik Kawalan bagi membeli alat bantu pendengaran yang baru bagi membantu meringankan bebannya.

Sebelum ini, penuntut berkenaan, Amirul Asyraf Mohd Aidi, 20, kehilangan alat bernilai RM40,000 sejak 1 Julai lalu menyebabkannya berdepan kesukaran melakukan aktiviti harian.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz berkata, atas semangat Politeknik Kasih, pengurusan bersetuju dengan cadangan Pengarah PIS Muhamad Rumzi Mamat melancarkan tabung khas untuk penuntut berkenaan.

“Tabung khas ini dilancarkan untuk mengumpul dana bagi menggantikan alat bantu pendengarannya yang hilang. Saya yakin semua 34 politeknik seluruh negara turut membantu menghulurkan sumbangan dengan secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah dihadapi Amirul Asyraf.

“Ia diuruskan Jabatan Hal Ehwal Pelajar PIS yang juga bertindak sebagai penyelaras sumbangan dengan bantuan Koperasi PIS Berhad,” katanya selepas melancarkan tabung Bantuan Khas Pelajar dan majlis penutupan serta penyampaian hadiah Festival Debat dan Pidato Politeknik Malaysia 5.0 Piala Ketua Pengarah JPP 2017 di PIS, di sini, kelmarin.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke Koperasi PIS Johor Bahru Berhad menerusi akaun Bank Islam bernombor 01087010031499.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 6:25am
d