mutakhir

Hidupkan semula nostalgia 1957

Oleh Nursyahirah Marzuki

SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2017 akan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini manakala Sambutan Hari Malaysia pula pada 16 September di Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini bakal menampilkan kelainan dengan menghidupkan semula sambutan Hari Kebangsaan pada 1957.

"Sambutan Kemerdekaan kali ini akan diadakan di Dataran Merdeka namun, kita akan membawa konsep Stadium Merdeka di situ untuk mengembalikan semula nostalgia sambutan kemerdekaan pada 1957.

"Malah, setiap susun atur kedudukan juga akan dibuat sama seperti di stadium termasuk skrin gergasi yang akan diletakkan di sekeliling Dataran Merdeka sepanjang 200 meter," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, tema Negaraku Sehati Sejiwa dipilih untuk menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia mempunyai semangat berbilang kaum dan bersatu padu.

"Kita mahu memberi penekanan kepada rakyat Malaysia mengenai bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan dan kita perlu pastikan semangat bersatu padu dan muafakat terus dicapai bagi memastikan negara lebih gemilang.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 11:47am
d