mutakhir

Tiga maut kereta bertembung

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

TIGA maut, seorang parah dan dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 66 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Pak Kancil, dekat Permaisuri, awal pagi hari ini.

Kejadian kira-kira 3.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, bertembung dengan sebuah lagi Proton Wira dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, dalam kemalangan itu, penumpang hadapan yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang, Koperal Faiezal Abdul Kayim, 42, bersama penumpang belakang, Ahmad Zaki Baharudin, 37, yang menuju arah Kota Bharu, maut di tempat kejadian.

"Perlanggaran itu menyebabkan Proton Wira yang menghala Kota Bharu itu tercampak ke sebelah kanan bahu jalan.

"Pemandu kereta satu lagi, Nur Lyza Syahira Ahmad Hazly, 17, dari Felda Chalok Barat, Setiu, pula disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu," katanya di Permaisuri, hari ini.

Beliau berkata, penumpang belakang kereta dipandu Nur Lyza Syahira, Nur Laila Zukiman, 15, parah manakala penumpang hadapan kereta sama, Muhamad Hasrah Abdullah, 17, dan pemandu kereta satu lagi, Hizami Abd Halim, 32, dari Pekan, Pahang, mengalami kecederaan.

"Ketiga-tiga mereka kini dirawat di Hospital Setiu," katanya.

Zulkifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 4:13pm
d