utama

Tahniah, kami doakan kekal bahagia, sejahtera [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

PELBAGAI lapisan masyarakat teruja menonton tayangan secara langsung istiadat persandingan Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dengan suaminya Dennis Muhammad Abdullah menerusi skrin digital gergasi ditempatkan di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati orang ramai mula memenuhi Dataran Bandaraya pada 7.30 malam untuk menyaksikan secara langsung istiadat bersejarah berkenaan.

Ada yang datang bersama keluarga, pasangan dan rakan-rakan bagi melihat sendiri Istiadat Perkahwinan Diraja Johor itu.

Rata-rata pengunjung yang ditemui mengungkapkan perasaan teruja mereka selain menzahirkan kata-kata tahniah kepada pasangan pengantin berkenaan.

Pekerja swasta, Manja Zainuddin, 29, yang datang bersama ibunya, Adib Abu Bakar, 57, berkata, ia merupakan kali pertama mereka menyaksikan istiadat seumpama ini.

"Memang kami sudah rancang untuk datang ke sini sejak seminggu lalu.

"Saya menerima makluman berkaitan majlis ini menerusi laman sosial Facebook dan memang sentiasa mengikuti perkembangan keluarga kerabat," katanya.

Seorang pelajar, Nurul Amira Yusaini, 21, berkata dia berasa seronok menyaksikan tayangan secara langsung istiadat berkenaan.

"Ia merupakan perkahwinan dinanti-nantikan rakyat Johor.

"Sebagai rakyat Johor, Tunku Tun Aminah dikenali dengan sikap mesra rakyat dan seseorang yang gemar merendah diri.

"Sebagai rakyat Johor kami mendoakan Tunku Tun Aminah dan pasangannya kekal bahagia," katanya.

Istiadat persandingan di Bilik Singgahsana terbabit bermula 8.35 malam.

Pengantin perempuan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga manakala pengantin lelaki mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

Berangkat ke istiadat terbabit Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Tunku Idris, Tunku Panglima Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, ibu bapa Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas, ahli keluarga dan rakan terdekat dari Belanda.

Kira-kira 1,200 tetamu kenamaan termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menghadiri majlis berkenaan.

Istiadat merenjis dan menepung tawar dimulakan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 11:23pm
d