arena

Bukan tugas mudah

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Tiga pingat emas menjadi buruan perenang sensasi negara, Welson Sim (gambar) apabila dia turun beraksi di Pusat Akuatik Nasional bermula 21 Ogos ini.

Malah, atlet berusia 20 tahun itu yang kini berada di tahap terbaik turut mengintai peluang untuk memecahkan rekod kebangsaan dan Sukan SEA.

Tiga acara yang menjadi sasaran Welson adalah 400 meter gaya bebas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura serta acara gaya bebas 200 meter dan 1,500 meter.

Namun, dia mengakui ia bukan tugas mudah kerana ramai perenang rantau ini bertaraf tinggi termasuk bintang Singapura, Joseph Schooling yang meraih pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 bakal menjadi pencabar.

“Semua perenang mahu memenangi pingat emas, jadi saya tidak mahu menjanjikan apa-apa. Bagaimanapun, saya akan terus memberi tumpuan untuk mempertahankan gelaran dalam acara 400 meter gaya bebas selain berusaha dalam acara 200 meter dan 1,500 meter gaya bebas.

“Sudah pastinya itu akan menjadi persaingan yang sihat. Dia (Schooling) mempunyai kelebihan tetapi apa saja boleh terjadi semasa hari pertandingan,” katanya.

Keyakinan Welson semakin memuncak apabila dia mencipta kejutan menewaskan juara Olimpik, Mack Horton dari Australia di Mare Nostrum Tour di Maghribi bagi pingat emas 400m gaya bebas dengan catatan rekod kebangsaan tiga minit 49.48 saat, Jun lalu.

Malah dia terus berusaha untuk memperbaiki teknik dengan menjalani latihan di New Zealand, tahun ini.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 10:45am
d