mutakhir

Air statik tapi masih terkawal

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

HUJAN lebat lebih tiga jam dan air pasang besar mengakibatkan banjir kilat di sekitar Parit Buntar, malam tadi.

Keadaan itu mengakibatkan air naik sehingga 0.6 meter ke beberapa rumah kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Ahmad Rosayyed Isa, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian banjir itu pada 7.12 malam.

Menurutnya, dia bersama sembilan anggota kemudian membuat pemantauan di beberapa lokasi yang terjejas.

"Tiga taman perumahan iaitu Taman Abdul Raof, Taman Kerian dan Taman Seri Tenggara dinaiki air setinggi kira-kira 0.4 meter.

“Kawasan yang paling teruk terjejas adalah pusat bandar dengan jalan utama dinaiki air lebih 0.6 meter.

"Sehingga 11.30 malam tadi, keadaan air masih statik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan dan pihak kami masih lagi membuat pemantauan.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka dan keadaan masih terkawal. Namun bomba bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan pihak Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Kerian juga sudah memasang beberapa pam di kawasan terjejas bagi menyedut dan mengeluarkan air bertakung.

Peniaga, Borhan Mahyuddin, 34, berkata banjir itu membuatkan 20 peniaga di Gerai Penjaja Statik Jalan Maharaja, Parit Buntar, terpaksa tutup awal.

Menurutnya, kebiasaannya operasi gerai terbabit tutup pada kira-kira 11 malam.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menutup perniagaan pada 7.30 malam, bagi menyelamatkan barang-barang perniagaan mereka dari terkena air.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 12:37am
d