mutakhir

10 penduduk masih di pusat pemindahan

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SEPULUH mangsa banjir termasuk tiga bayi masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Surau Tengah Kampung Machang Hilir, Lenggeng, sehingga jam 5 petang hari ini.

Mereka antara 76 penduduk dari 26 keluarga yang dipindahkan akibat banjir kilat yang melanda Kampung Sungai Machang Hilir dan Kampung Sungai Jai, petang semalam.

Hujan lebat yang melanda sejak 4 petang menyebabkan kediaman di dua kampung itu dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt (PA) Kamal Mokhtar berkata, kebanyakan mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.

Menurutnya, seramai 22 anggota turut membantu penduduk melakukan pembersihan di kampung berkenaan.

"Anggota APM dibahagikan kepada dua kumpulan untuk kerja pembersihan itu.

"Mereka turut membantu mengeluarkan perabot dan peralatan rumah mangsa yang dipenuhi lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan, penduduk Kampung Sungai Machang Hilir, Lenggeng, ditempatkan ke pusat pemindahan berikutan kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 7:49pm
d