arena

Firmino lepas tiga mata Reds

Oleh AFP

LIVERPOOL, England: Kegagalan Roberto Firmino menyempurnakan penalti pada babak pertama ternyata satu kerugian buat Liverpool ketika Joaquin Correa menyumbat gol penyamaan dramatik bagi membantu Sevilla seri 2-2 pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Anfield bergembira ketika kelab Inggeris itu kembali menyertai aksi bola sepak Liga Juara-Juara selepas dua tahun namun Sevilla hanya mengambil masa empat minit untuk merencatkan keghairahan itu.

Selepas Wissam Ben Yedder memberikan kelab Sepanyol itu gol pendahuluan, jaringan menerusi Firmino (minit ke-21) dan Mohamed Salah (m-37) meletakkan Liverpool di depan namun sayangnya Firmino gagal menyempurnakan tendangan penalti.

Pertahanan Sevilla, Guido Pizarro jelas kelihatan memegang bola sebelum menjatuhkan Sadio Mane dalam kotak penalti tiga minit sebelum rehat dan pengadil Danny Makkelie dari Belanda tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Firmino tampil untuk mengambil sepakan itu namun sekalipun dia berjaya mengelirukan penjaga gol Sergio Rico, percubaannya terkena tiang sebelah kanan gol lawan.

Selepas sejam, pengurus Sevilla, Eduardo Berizzo diperintah ke bangku penonton kerana membuang bola daripada pemain Liverpool, Joe Gomez ketika dia cuba melakukan lontaran masuk namun kekecewaannya mengendur berikutan gol Correa pada minit ke-72. Gomez turut dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp mendakwa beliau sudah berdamai dengan Berizzo dan staf kejurulatihan Sevilla berikutan pergaduhan kecil berlaku menuju ke terowong selepas perlawanan berakhir di Anfield.

“Semuanya kembali baik. Saya fikir mereka mungkin berasa bertanggungjawab terhadap kad merah itu,” jelas Klopp.

“Namun secara jujurnya saya tidak fikir saya mempengaruhi kedudukan pengurus mereka.

“Saya tidak gembira terhadapnya kerana membuang bola itu tapi kami OK. Beliau menjemput saya ke bilik persalinan dan kami bercakap mengenainya. Tapi saya tidak mempengaruhi keputusan pengadil memerintahkannya ke bangku penonton!”

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 10:33am
d