mutakhir

Pesawat ringan terbabas di Kuching

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SEBUAH pesawat ringan jenis Beech Craft yang membawa enam penumpang bersama juruterbang tergelincir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

Kejadian kira-kira 6.05 petang itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Difahamkan, seorang penumpang adalah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, yang baru menghadiri majlis di Mukah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari menara kawalan udara LTAK pada 6.09 petang.

Menurutnya, pesawat dari Mukah itu tergelincir ketika mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian hujan lebat di bandar ini menyebabkan landasan basah.

"Pesawat berkenaan tergelincir kira-kira 500 meter dari menara kawalan bomba lapangan terbang.

"Sejurus pesawat berhenti, juruterbang, pembantu juruterbang bersama enam penumpang berjaya keluar dengan selamat," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan serius dialami juruterbang, pembantu juruterbang dan penumpang.

"Pesawat sudah dialihkan dari landasan bagi membolehkan penerbangan lain menggunakan lapangan terbang.

Sementara itu, sumber LTAK memaklumkan landasan ditutup sejam untuk operasi mengalihkan pesawat sebelum dibuka semula pada 8.15 malam.

Disiarkan pada: September 24, 2017 @ 9:12pm
d