mutakhir

12 lagi Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ditambah

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

KABINET bersetuju menambah 12 lagi Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di seluruh negara mulai akhir tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kabinet semalam turut bersetuju mahkamah itu diwujudkan secara berperingkat atau fasa demi fasa.

Beliau berkata, terdapat empat fasa utama iaitu fasa pertama yang dicadangkan pelaksanaannya di Sarawak, Selangor dan Johor.

Menurutnya, fasa kedua membabitkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Pahang.

"Fasa ketiga pula di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka manakala fasa keempat di Sabah, Perak dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak peringkat Selangor di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, fasa pertama di tiga negeri itu akan dilaksanakan tahun ini dengan melakukan pengubahsuaian mahkamah sedia ada.

"Mahkamah ini akan dilengkapi fasiliti sama seperti di Putrajaya iaitu sistem Court Recording Transcription (CRT), Sistem Audio Visual dan Bilik Saksi Kanak-Kanak serta Bilik Menunggu Saksi Kanak-Kanak.

"Prasarana khusus ini sangat penting bagi membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas ini," katanya.

Beliau berkata, sejak mahkamah itu ditubuhkan pada 22 Jun lalu di Putrajaya, 303 kes didaftarkan dalam tempoh tiga bulan dan 255 atau 84 peratus kes berjaya diselesaikan.

"Ini membuktikan mahkamah ini mencapai objektif dan menyelesaikan kes secara efisien dalam tempoh tidak sampai setahun," katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 6:26pm
d