mutakhir

RELA pertahanan kedua ESSZONE

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Ainul Durmahyanty Durming

SERAMAI 6,148 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah akan ditempatkan 10 daerah di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diluluskan menerusi Mesyuarat Lembaga Penasihat ESSZONE di Ibu Pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, hari ini.

Beliau berkata, anggota RELA berkenaan akan berperanan sebagai barisan pertahanan kedua dalam bagi membantu pasukan keselamatan negara.

Menurutnya, pada peringkat awal, 500 anggota RELA di Sabah akan menjalani latihan khusus bagi tujuan penugasan berkenaan.

"Kita akan umumkan (projek perintis) dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat LembagaPenasihat ESSZONE di Ibu Pejabat ESSCOM di Lahad Datu, hari ini.

Mesyuarat disertai anggota Lembaga Penasihat ESSZONE terdiri daripada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; dan Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Lembaga Penasihat ESSZONE yang diurus setia oleh Majlis Keselamatan di Jabatan Perdana Menteri, diwujudkan semasa Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Januari lalu bagi memantapkan lagi mekanisme sedia ada.

ESSZONE membabitkan Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 1:55pm
d