mutakhir

Budak kolej konon...

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

SINDIKET African Scam yang yang dianggotai 11 lelaki dan dua wanita warga Afrika tumpas dalam operasi berasingan di empat lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada 27 September hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 35 laporan polis diterima berhubung kegiatan sindiket ini yang membabitkan kerugian sebanyak RM941,700.

Menurutnya, suspek berusia 25 hingga 35 tahun yang mendakwa penuntut kolej swasta menjadikan negara ini sebagai pusat kegiatan penipuan mereka.

"Modus operandi yang digunakan suspek masih sama iaitu berkenalan menerusi laman sosial dan aplikasi mesej dengan mereka memaksimumkan penggunaan elektronik bagi mengeksploitasi mangsa.

"Selepas berkenalan dan sebagai tanda persahabatan dan kasih sayang, suspek akan menghantar bungkusan kepada mangsa. Mangsa akan terperangkap apabila menerima panggilan daripada Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan syarikat penghantaran yang memerlukan mangsa membayar sejumlah wang untuk menyelesaikan masalah.

"Apabila pindahan wang dibuat ke akaun yang diberikan, bungkusan itu tidak diperoleh dan suspek gagal dihubungi," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Acryl berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 21 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh komputer riba, 19 kad mesin pengeluaran wang automatik, enam pasport, sebuah Perodua Myvi, satu jam tangan, enam kad akses, kunci dan pelbagai dokumen.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan 1963 dan Akta Passport 1966 (Akta 150).

"Difahamkan, lebih 50 laporan polis diterima di Singapura berkenaan sindiket yang sama. Sindiket ini turut menyasarkan mangsa dari Singapura, Amerika Syarikat dan Australia," katanya.

Sejak Januarihingga September lalu, JSJK menerima sebanyak 1,719 laporan kes African Scam membabitkan kerugian RM66.06 juta.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 10:40pm
d