arena

KOM senarai 17 atlet ke Gold Coast

Oleh Aida Adilah Mat

PENCAPAIAN cemerlang meraih lapan emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang lalu menyaksikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berani mempertaruhkan seramai 17 atlet untuk disenaraikan ke Sukan Komanwel Gold Coast.

Namun keputusan sama ada mereka terpilih atau tidak hanya akan diputuskan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ketua jurulatih Zainal Abas menegaskan antara yang disenaraikan adalah semua atlet negara yang meraih pingat emas Sukan SEA selain beberapa atlet yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Jawatankuasa pemilihan sudah menyenaraikan atlet yang layak. Kami hantar saja nama namun MOM yang akan tentukan.

“Jadi ketika ini mereka berlatih seperti biasa dan KOM hanya menunggu bajet yang akan diberi untuk merangka program latihan buat atlet nanti,” katanya.

Atlet olahraga mencatat kejayaan gemilang di KL2017 apabila berjaya memperbaiki pencapaian tiga emas di Singapura dua tahun lalu.

Paling membanggakan kejayaan Khairul Hafiz Jantan bergelar raja pecut Asia Tenggara selain lima rekod kebangsaan berjaya dipecahkan dan tiga rekod baru temasya dicipta menerusi Jackie Wong dan Grace Wong dalam acara baling tukul besi dan Hakimi Ismail (lompat kijang).

Bagaimanapun tiada atlet negara berjaya meraih pingat pada Sukan Komanwel Glasgow tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 6:11pm
d