arena

Sie Yan membara ke Gold Coast

Oleh Mohd Kharie Khalid

MESKIPUN masih mempunyai tempoh enam bulan sebelum Sukan Komanwel Gold Coast, Australia 2018 membuka tirainya, namun Koi Sie Yan cukup bersedia untuk tampil kali pertama di temasya berkenaan.

Pemenang empat pingat emas dan dua perak acara gimrama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu sudah pun menjalani latihan kerana misinya adalah untuk meraih pingat di Sukan Komanwel.

Meskipun sedar saingan sengit yang bakal ditempuh dalam penampilan sulung di temasya itu, namun Olahragawati Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu enggan merendah diri sebelum bertanding.

“Selepas Sukan SEA, tumpuan saya kini terarah kepada Sukan Komanwel 2018. Ini kerana, saya mahu membawa balik apa saja pingat kembali ke bumi Malaysia.

“Mengenai persediaan, sebenarnya ia masih belum bermula (secara rasmi) tetapi saya sudah menjalani latihan bersungguh-sungguh.

“Januari nanti, kami akan menjalani latihan sama ada ke Russia atau di negara lain,” kata Sie Yan, 18, ketika ditemui pada Majlis Anugerah Gemilang SSBJ 2017, di Dewan Olimpik SSBJ, hari ini.

Pada majlis itu, Sie Yan (gimrama) dinobatkan selaku Olahragawati selepas mengenepikan empat lagi calon, iaitu Lee Hui Xian (wushu), Lai Wen Li (skuasy), Izzah Amzan (gimrama) dan Grace Wong Xiu Mei (olahraga).

Gelaran Olahragawan pula menjadi milik penerjun negara, Jellson Jabilin.

Dia menyingkirkan empat lagi calon yang disenaraikan iaitu Gabriel Gilbert Daim (akuatik - terjun), Tan Cheong Wan (wushu), Hanis Nazirul Jaya Surya (akuatik - terjun) dan Muhamad Nazri Mustafa (olahraga).

Siow Yee Xian daripada sukan skuasy pula menerima anugerah atlet terbaik keseluruhan (ARSA), selepas mengetepikan Muhammad Zakariya Minsuri dari olahraga.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 3:23pm
d