mutakhir

Sumbangan pakaian dalam jangan dilupa

Oleh Syahid Sokri

"KAMI gembira akhirnya dapat juga menukar pakaian dalam baru dan mendapat keperluan lain seperti tuala wanita, sabun, dan berus gigi yang mungkin terlepas pandang oleh pihak berkaitan ketika kami berada di pusat pemindahan," kata Rogayah Sulong, 47, seorang daripada mangsa banjir dari Taman Sinar Mentari, Bedong.

Dia yang mengaku terpaksa memakai pakaian dalam sama dalam tempoh tiga hari, lega apabila menerima bantuan pakaian itu hasil ihsan orang ramai yang prihatin dengan nasib mereka.

Menurutnya,keperluan berkenaan penting untuk wanita.

"Bantuan memang ada diberikan tetapi terlepas pandang perkara yang paling penting begini (pakaian dalam).

"Tambahan pula, pakaian dalam wanita memerlukan jenis dan saiz berbeza untuk digunakan mengikut tubuh badan masing-masing di mana sukar didapati jika tidak bertanya pada tuan badan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui mengambil bantuan pakaian di Taman Sinar Mentari, Bedong, hari ini selepas banjir surut.

Dia bersama penduduk lain sebelum ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Lebai selepas kediaman mereka dilanda banjir.

Rogayah berkata, mereka tidak kisah walaupun murah, asalkan dapat diganti tambahan ibu masih berpantang juga amat memerlukan pakaian dalam dan tuala wanita kerana bimbang akan menular penyakit kulit berjangkit sekiranya terus menerus memakai pakaian lembap.

"Kami tidak boleh keluar ke bandar ketika banjir untuk membeli pakaian baru selepas kereta dan motosikal rosak ditenggelami air.

"Alhamdulillah, walaupun keperluan makanan cukup, kami memohon sekali lagi, untuk memberi bantuan pakaian dalam serta tuala wanita bagi mengelak terjadinya penyakit kulit.

"Awalnya ada yang tidak kisah untuk mencuba untuk terus mengguna pakaian dalam lembap, tetapi kulit menjadi kemerah-merahan," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 8:53pm
d