mutakhir

Banyaknya buku lama

Oleh Fardy Bungga

SEKOLAH Menengah St Michael, Penampang menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) untuk rekod sebagai pengumpul buku lama terbanyak selepas mengumpul 42,617 buku.

Kejayaan hasil kerjasama antara pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berkenaan disertai lebih 1,000 individu termasuk pelajar, bekas pelajar, ibu bapa dan guru serta komuniti setempat.

Pengetuanya, Jennifer Asing berkata, sasaran awal pihaknya adalah 36,000 buku berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen namun hasil usaha kuat pelbagai pihak berjaya mencatatkan kutipan melebihi sasaran.

Katanya, projek MBOR ini bertujuan untuk mempelbagaikan bahan bacaan di pusat sumber bagi memupuk dan menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Idea projek ini mula tercetus susulan timbulnya keperluan untuk mengisi kekurangan bilangan buku-buku di pusat sumber. Menyedari keperluan itu, maka usaha murni ini dilaksanakan dengan kerjasama PIBG dan pihak sekolah.

“Pelaksanaan projek MBOR ini juga melahirkan masyarakat yang prihatin dengan membudayakan amalan menderma untuk kebaikan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 4:33pm
d