mutakhir

Bantu cari peguam syarie terdekat

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PORTAL carian peguam syarie, canlawsyariah.com dilancarkan hari ini bagi memenuhi keperluan pengguna mendapatkan khidmat guaman syarie berdasarkan keutamaan mereka secara atas talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, portal itu antara usaha dilakukan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi memperkasakan lagi profesion guaman syarie di negara ini.

Menurutnya, melalui laman web canlawsyariah.com, pengguna boleh mendapatkan senarai nama lima peguam syarie yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari kediaman mereka.

"Saya difahamkan, apabila alamat pengguna dimasukkan, portal ini akan mencari dan memaparkan nama-nama peguam syarie yang boleh diakses dengan mudah berdasarkan keperluan kes syariah pengguna itu.

"Ini akan memudahkan pengguna yang sebelum ini mungkin terpaksa bertanya kawan-kawan atau pergi ke mahkamah bagi mencari nama peguam syarie yang bersesuaian dengan kes mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Peguam Syarie Malaysia Kali Ke-4 dan Pelancaran Portal Canlaw Syariah di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mukhyuddin Ibrahim dan Presiden (PGSM) Musa Awang.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 7:13pm
d