mutakhir

AirAsia perkenal identiti 'I love ASEAN'

Oleh Nabil Basaruddin dari Manila

AIRASIA Berhad (AirAsia), syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia memperkenalkan reka bentuk pesawat dengan identiti 10 negara anggota ASEAN bersempena sambutan ke-50 gabungan serantau terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebagai syarikat penerbangan yang lahir dari kalangan negara ASEAN, pihaknya berbesar hati memperkenalkan reka bentuk istimewa itu pada sambutan jubli emas ASEAN pada tahun ini.

Beliau berkata, reka bentuk yang turut dikenali sebagai 'I love ASEAN' itu diinspirasikan dari ciri-ciri autentik yang begitu sinonim dengan 10 negara anggota ASEAN seperti tekstil, seni bina dan alam semulajadi.

"Sebagai syarikat penerbangan ASEAN, kami mempunyai impian untuk membawa lebih banyak penduduk rantau ini seiring dengan kerja keras dan harapan gabungan serantau berkenaan dalam tempoh 50 tahun ini.

"Pengenalan reka bentuk ini adalah antara inisiatif AirAsia dalam menyumbang kembali dengan lebih banyak promosi ke destinasi ASEAN dalam mewujudkan intgrasi dan kesefahaman antara negara anggotanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan reka bentuk pesawat ASEAN50 itu di Pangkalan Tentera Udara Filipina di Manila, pagi tadi.

Reka bentuk itu memaparkan rekaan batik cetak (Malaysia), poom khao bin (Thailand), ulos Batak (Indonesia), tapis (Filipina), trong dong (Vietnam), kbach pka Chan (Kemboja) Lao phouthai (Laos) chate (Myanmar), jongsarat (Brunei) dan Vanda Miss Joaquim (Singapura).

Selain itu, dalam majlis sama AirAsia turut melancarkan program AirAsia Loves ASEAN membabitkan program Kerjasama Universiti ASEAN AirAsia, Hari Keusahawanan ASEAN, Kem Wartawan ASEAN dan Program Pertukaran Allstars.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 1:32pm
d