mutakhir

MALBATT 850-5 kekal di Lubnan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Pertahanan tidak bercadang menarik balik pasukan Malaysia Batalion 850-5 (MALBATT 850-5) di Lubnan berikutan krisis politik melanda negara itu, sejak minggu lalu.

Krisis di negara berkenaan tercetus susulan Perdana Menteri Saad Hariri mengumumkan peletakan jawatan kerana mendakwa nyawanya terancam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 850 anggota berada di Lubnan dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan atau UNIFIL.

"Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sudah menghubungi Komander MALBATT 850-5 untuk mendapatkan perkembangan mengenai situasi di Lubnan pada hari pengumuman perletakan jawatan terbabit.

"Setakat ini, tiada perkara membimbangkan atau meragukan yang boleh mengancam keselamatan di sana. Bagaimanapun, kita tetap akan memantau setiap hari untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Pakej Istimewa Panggilan dan Data (Pakej TigaTiga) Angkatan Tentera Malaysia (ATM)-Celcom serta Sambutan Deepavali Peringkat Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, hari ini.

Inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan melalui ATM dengan kerjasama syarikat Celcom Axiata Berhad yang dinamakan Pakej TigaTiga bersempena tahun penubuhan ATM pada 1933 dan ditawarkan khusus untuk anggota serta veteran ATM.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menyangkal dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengatakan kerajaan pusat tidak membantu mangsa banjir di negeri itu.

Beliau berkata, sehari selepas negeri itu dilanda banjir, beliau dan Tan Sri Raja Mohamed Affandi sendiri turun melihat keadaan di sana.

"Dalam hal ini ATM sudah menjalankan tugas dengan baik untuk membantu mangsa banjir, walaupun tiada arahan. Dakwaan kata tidak bantu, itu tidak patut," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 6:00pm
d