MENU itik disari
ANEKA pilihan makanan
Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

Penggemar itik yang tegar boleh menikmati masakan itu sepuas-puasnya jika berkunjung ke Melur & Thyme di Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Restoran menggabungkan makanan Timur dan Barat itu menghidangkan lebih 50 menu pilihan yang menarik untuk dinikmati.

Restoran eksklusif itu juga merumuskan hidangan istimewa seperti sate itik dengan kuah kacang yang memberangsangkan berserta masakan tradisional lain termasuk ketam goreng cili, roti jala, daging salai masak lemak cili padi serta pelbagai lagi.

Bagi penggemar masakan Barat pula, pelbagai pilihan makanan disediakan seperti spageti, salad, pasta, sup, sandwic, 'lamb cutlet' serta pencuci mulut seperti tiramisu yang mempunyai keenakan tersendiri.

Pengarah Eksekutifnya, Sharifah Nur Diyana Syed Zulkiflee berkata, ramai menggemari menu berasaskan itik kerana tekstur dagingnya empuk selain diolah begitu istimewa.

"Sebenarnya, Melur & Thyme mengetengahkan konsep 'tapas' berasal dari Sepanyol yang bermaksud makanan pembuka selera dan mengandungi pelbagai campuran menu serta boleh dinikmati dalam jumlah kecil.

"Seawal pagi, pelanggan boleh menikmati sarapan ringkas meliputi telur separuh masak menerusi menu 'English Breakfast' meliputi roti berserta 'scrambled egg' atau 'chicken ham' mahupun sosej, roti Perancis serta nasi lemak.

"Menu pada waktu puncak iaitu tengah hari dan malam merumuskan makanan tradisional dan Barat yang boleh didapati secara ala carte serta dimasak mengikut piawaian dan waktu ditetapkan supaya pelanggan tidak menunggu lama untuk tempahan mereka.

"Pada waktu petang pula, pelanggan boleh minum sambil menikmati menu panas seperti char kuetiau, roti jala, keropok lekor, nasi goreng bunga kantan, aneka kek serta pelbagai jenis sup," katanya.

Nur Diyana yang sebelum ini pernah mengusahakan restoran bersama ibu, Datin Nazneen Abdullah tampil dengan pelbagai penambahbaikan dalam masakan di restoran yang baru setahun lebih ber­operasi di Suria KLCC ini.

Melihat sambutan memberangsangkan, usahawan ini berhasrat membuka dua lagi cawangan iaitu di Klia 2 pada penghujung bulan ini serta di NU Sentral Kuala Lumpur, Disember depan.

Nur Diyana yang memiliki Ijazah Sarjana Muda, Pendidikan Sains Aktuari dari London School of Economic juga yakin selain makanan berkhasiat, dekorasi dalaman menarik mampu menggamit kehadiran pelanggan ke restoran yang dibuka tujuh hari seminggu itu.

Dibuka seawal jam 8 pagi dan ditutup pada 10 malam, dia menyatakan kebanyakan pelanggan adalah pekerja pejabat yang datang dari kawasan persekitaran.

Namun, katanya, keluarga pula ramai berkunjung bersama anak pada hujung minggu di restoran yang mampu menampung 120 pelanggan dalam satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 6:32 AM